Hijrah ke Madinah

Apabila umat Islam menerima kebenaran Muhammad (s.a.w.) untuk berhijrah ke Madinah, mereka mula meninggalkan Mekah beramai-ramai pada waktu malam kerana bimbang diketahui oleh kaum Quraisy. Mereka yang meninggalkan Mekah dikenali sebagai golongan Muhajirin (Yang Berhijrah). Semasa meninggalkan Mekah, mereka meninggalkan harta mereka, binatang ternakan mereka dan rumah mereka. Kaum Quraisy tidak membuang masa untuk menuntut harta ini dan ketamakan mereka mengumpul harta ini menyebabkan mereka tidak memburu umat Islam yang lari sehelai sepinggang dengan membawa hanya bekalan yang mencukupi untuk perjalanan shj

.
Walaupun umat Islam telah meninggalkan semua harta dunia mereka kepada kaum Quraisy, ini tidak menghalang ramai daripada mereka daripada ditangkap dan diseksa oleh kaum Quraisy.
Hind binti Abi Umayyah bin Al-Mugheerah Al-Quraisya Al-Makhzumiyyah (lebih dikenali sebagai Umu Salamah) adalah salah seorang mangsa. Beliau mengahwini Abdullah bin Abdulasad, salah seorang daripada sepuluh orang pertama yang menganut Islam. Mereka mempunyai seorang anak lelaki bernama Salamah. Setelah menerima kebenaran untuk berhijrah ke Madinah, Abdullah mengumpulkan sedikit bekalan, meletakkan anak dan isterinya di atas unta dan keluar menuju ke Madinah.
Apabila mereka tiba di pinggir kota, beberapa lelaki daripada suku Makhzum (suku Umu-Salamah) ternampak mereka. Mereka meluru ke arahnya dan berkata, "Walaupun kami tidak berkuasa menahan kamu, tetapi kamu tidak dibenarkan untuk membawa anak perempuan kami.", lalu mereka merampas tali unta daripada tangannya.


Semasa hal ini berlaku, sekumpulan lelaki daripada suku Abdulasad, iaitu suku suami Umu-Salamah, menjadi marah melihat perbuatan ini dan menjerit, "Demi Tuhan, jika kaummu mengambilnya, kamu tidak dibenarkan mengambil anaknya kerana anaknya adalah daripada suku kami.", lalu mereka merampas anak itu. Kedua-dua suku menarik tangan anak itu sehingga tangannya terseliuh. Akhirnya suku Makhzum mengambil Umu Salamah dan suku Abdulasad mengambil anak lelaki Salamah, dan Abdullah tiada pilihan lain kecuali pergi ke Yathrib seorang diri.


Selepas itu, Umu Salamah pergi ke pinggir bandar dan meratapi kehilangan anak dan suaminya hinggalah hari malam setiap hari. Ini berlarutan selama setahun sehingga timbul rasa kasihan pada kedua-dua suku dan mereka mengembalikan anaknya dan membenarkannya mengikut suaminya.


Contoh lain adalah Suhaib Al-Rumi, seorang Arab daripada suku Numair. Beliau ditahan orang Rom semasa mereka menyerang bandar Al-Thani di Iraq semasa beliau masih kecil. Setelah menjadi hamba abdi golongan bangsawan Rom selama beberapa tahun, beliau dapat melarikan diri dan kembali ke Arab. Beliau pergi ke Mekah sebagai seorang penghirjah tanpa ingat sepatah pun perkataan Arab. Pelatnya yang pekat dan rambutnya yang merah menyebabkan beliau digelar "Al-Rumi" (Orang Rom). Suhaib tinggal beberapa tahun di Mekah sambil berniaga dan akhirnya dapat mengumpulkan banyak harta. Semasa tinggal di Rom, Suhaib pernah mendengar seorang paderi Kristian berkata kepada seorang bangsawan Rom bahawa masa ketibaan nabi yang terakhir dari Tanah Arab telah hampir dan beliau akan mengesahkan ajaran Jesus. Apabila Suhaib mendengar berita tentang ajaran Muhammad, beliau bertanya mengenainya, dan akhirnya menerima Islam.


Apabila Muhammad (s.a.w.) membenarkan penghijrahan ke Madinah, Suhaib mengumpulkan barang miliknya dan menuju ke sana. Bagaimanapun, golongan bangsawan Quraisy mendapat tahu mengenai hal ini dan cuba menghalangnya daripada pergi. Mereka bergilir-gilir berkawal supaya beliau tidak dapat meninggalkan Mekah, tetapi beliau berjaya memperdayakan mereka dan pergi.
Kaum Quraisy sedar yang mereka telah terpedaya tidak lama selepas itu, mereka menghantar penunggang-penunggang dan kuda-kuda yang terlaju untuk mengejarnya, dan mereka berjaya mengejarnya. Apabila Suhaib nampak mereka, beliau turun daripada tunggangannya, mengeluarkan busur dan panah dan berkata, "Wahai kaum Quraisy, demi Allah kamu tahu yang aku adalah pemanah yang handal. Demi Allah, kamu tidak akan dapat mendekatiku melainkan aku bunuh setiap seorang daripadamu, dan aku akan memukul kamu dengan pedangku sehingga ia jatuh daripada tanganku."
Kaum Quraisy menjawab, "Kau datang kepada kami sebagai penghijrah yang miskin. Setelah kau kaya-raya kini kau mahu meninggalkan kami? Demi Allah, kami tidak akan membiarkan kau pergi dengan nyawa dan hartamu!". Suhaib menjawab, "Jika aku berikan hartaku kepadamu, adakah kau akan membiarkan aku pergi?". Mereka menjawab, "Ya". Maka Suhaib memberitahu mereka tempat di mana hartanya ditanam, mereka mendapatkannya dan melepaskannya.


Apabila Suhaib sampai ke Quba (sebuah bandar yang terletak dua baru dari Madinah), Muhammad (s.a.w.) nampak beliau dan bergegas menyapanya, "Sesungguhnya kamu telah untung besar dalam perniagaanmu wahai bapa kepada Yahya, sesungguhnya kamu telah beruntung.". Apabila Suhaib mendengar kata-kata ini beliau berkata, "Demi Allah, tiada sesiapa yang mendahuluiku [menyampaikan berita ini]. Tentunya kau telah dimaklumkan oleh [malaikat] Jibril."
Semua umat Islam Mekah berhijrah secara diam-diam pada waktu malam kerana bimbangkan penindasan kaum Quraisy, kecuali Umar bin Al-Khattab. Umar adalah seorang yang berkuasa dan amat dihormati oleh kaum Quraisy. Beliau adalah seorang yang amat mahir dalam hal peperangan. Setelah membuat keputusan untuk berhijrah, beliau berdiri di tengah-tengah masjid suci di Mekah di hadapan para bangsawan dan mengisytiharkan, "Aku telah memutuskan untuk berhijrah. Kepada sesiapa yang ingin supaya ibu bapanya kehilangan anak, atau ingin menjadikan anaknya yatim, temuilah aku di belakang bukit ini.", dan beliau pun pergi. Sudah tentu tiada sesiapa yang berani mengekorinya.


Selepas Muhammad (s.a.w.) memerintahkan umat Islam berhijrah ke Madinah, semua umat Islam yang sihat meninggalkan Mekah, kecuali beliau, sahabat karibnya Abu Bakar, sepupunya Ali dan mereka yang telah diseksa dan dipenjarakan.


Apabila kaum Quraisy mendapati yang Muhammad (s.a.w.) telah mempunyai sekutu yang kuat yang akan melindunginya dan pengikut-pengikutnya daripada penindasan, mereka mulai bimbang beliau akan pergi bersama-sama pengikut-pengikutnya. Mereka memutuskan bahawa mereka perlu memastikan beliau tidak pergi. Telah tiba masanya untuk Muhammad mati.
Bangsawan Quraisy bertemu di Dar Alnadwa dan merancang bagaimana hendak membunuhnya. Mereka memutuskan bahawa strategi terbaik adalah memilih seorang pemuda yang berkebolehan daripada setiap suku dan menghantar mereka ke rumahnya. Mereka dikehendaki memukul Muhammad (s.a.w.) dengan pedang mereka serentak supaya darahnya diagihkan di antara semua suku. Dengan cara ini, keturunan Abdul Manaf tidak dapat menuntut bela ke atas semua suku Quraisy.


Jibril menziarahi Muhammad (s.a.w.) dan memaklumkannya mengenai rancangan ini, maka Muhammad memberitahu sepupunya, Ali, mengenai rancangan ini dan memintanya tidur di katilnya. Beliau menenangkan Ali supaya tidak risau, tiada apa-apa yang buruk akan menimpanya.
Apabila pemuda-pemuda Quraisy berkumpul di luar rumah Muhammad (s.a.w.), Tuhan mengaburi pandangan mereka buat sementara waktu. Muhammad (s.a.w.) mengambil segumpal debu, menaburnya di atas kepala mereka dan berlalu. Semasa beliau berbuat demikian, beliau membaca beberapa ayat pertama Yasin (36):
"Yaasiin. Demi Al-Qur'an yang penuh hikmah, sesungguhnya kamu salah seorang daripada rasul-rasul, (yang berada) di atas jalan yang lurus, (sebagai wahyu) yang diturunkan oleh Yang Maha Perkasa lagi Maha Penyayang, agar kamu memberi peringatan kepada kaum yang bapa-bapa mereka sebelum mereka belum pernah diberi peringatan, kerana itu mereka lalai."
Sehingga ke ayat, "Dan kami adakan di hadapan mereka dinding dan di belakang mereka dinding, dan Kami (tutup) mata mereka sehingga mereka tidak dapat melihat."


Seorang lelaki melepasi mereka dan bertanya, "Apa yang kamu tunggu di sini? ". Mereka menjawab, "Muhammad". Beliau berkata, "Dia telah pun pergi dan menabur debu di atas kepalamu. ". Mereka merasa kepala mereka dan mendapati ada debu di situ. Lalu mereka menjenguk ke dalam rumah dan nampak Ali di atas katil dan menyangka beliau adalah Muhammad. Keesokan pagi, Ali bangun dan mereka pun sedar bahawa memang Muhammad (s.a.w.) telah melarikan diri seperti yang dikatakan oleh lelaki tersebut. Mereka terus mengejarnya.


Muhammad (s.a.w.) bertolak dengan Abu Bakar menuju ke Yathrib. Apabila mereka sampai di gua Thur di pinggir kota Mekah, Abu Bakar berkata, "Tunggulah di sini wahai utusan Allah sementara aku memeriksanya [kalau-kalau ada serangga merbahaya]". Setelah beliau memeriksanya, beliau menyuruh Muhammad (s.a.w.) masuk. Semasa mereka berada di dalam gua, sekumpulan Quraisy sampai di situ. Semasa mereka berjalan di sekitar gua tersebut, Abu Bakar menjadi takut dan berkata, "Wahai utusan Allah, jika salah seorang daripada mereka melihat ke arah kakinya, dia akan nampak kita.". Muhammad (s.a.w.) menoleh ke arahnya dan berkata, "Wahai Abu Bakar, apakah yang anda fikirkan mengenai dua lelaki yang mana yang ketiga adalah Tuhan? [melalui bimbingan dan perlindungan]".
Merujuk kepada peristiwa ini, ayat-ayat berikut kemudiannya diturunkan:
"Jikalau kamu tidak menolongnya (Muhammad), maka sesungguhnya Allah telah menolongnya (iaitu) ketika orang-orang kafir mengeluarkannya (dari Mekah) sedang dia salah seorang daripada dua orang ketika keduanya berada di dalam gua, di waktu dia berkata kepada temannya, "Janganlah kamu berdukacita, sesungguhnya Allah berserta kita". Maka Allah menurunkan ketenanganNya kepada (Muhammad) dan membantunya dengan tentera yang kamu tidak melihatnya, dan Allah menjadikan seruan orang-orang kafir itulah yang rendah. Dan kalimat Allah itulah yang tinggi. Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana."
Al-Qur'an, Al-Taubah (9):40


Muhammad (s.a.w.) dan Abu Bakar tinggal di dalam gua ini selama tiga hari sementara Abdullah, anak Abu Bakar, membawakan mereka berita mengenai rancangan kaum Quraisy. Anaknya Asma membawakan mereka makanan setiap hari. Selepas tiga hari, mereka berjumpa seorang penunjuk jalan bernama Abdullah bin Arqat dan bertolak ke Madinah. Kadang-kadang Abu Bakar akan berjalan di belakang Muhammad (s.a.w.) dan kadang-kadang berjalan di hadapannya. Akhirnya Muhammad (s.a.w.) bertanya Abu Bakar kenapa beliau berbuat demikian dan Abu Bakar menjelaskan bahawa kadang-kadang beliau bimbang Muhammad diserang dari belakang, maka beliau berjalan di belakangnya untuk melindunginya. Kadang-kadang beliau bimbang Muhammad akan diserang dari hadapan, maka beliau berjalan di hadapannya.


Apabila kaum Quraisy sedar yang Muhammad (s.a.w.) telah terlepas, mereka mengumumkan hadiah sebanyak seratus ekor unta untuk sesiapa yang dapat menangkapnya dan mengembalikannya kepada mereka. Suraqa bin Malik bin Ju'ushum mendapat tahu mengenai hadiah ini dan keluar memburu Muhammad (s.a.w.).


Suraqa mahir menjejak Muhammad (s.a.w.) dan Abu Bakar telah tinggal di gua selama tiga hari, maka beliau dapat mengejar mereka. Bagaimanapun, apabila beliau menghampiri mereka, kudanya tersadung dan jatuh. Beliau bangun, menaiki kudanya, dan kudanya tersadung sekali lagi dan jatuh. Setelah hal ini berlaku tiga kali, kudanya tenggelam ke dalam tanah dan angin kencang mulai bertiup. Melihat hal ini, Suraqa sedar yang beliau tidak akan dapat menawan mereka, beliau memanggil mereka, "Aku adalah Suraqa bin Ju'ushum. Bolehkan aku bercakap denganmu? Demi Allah, aku berjanji tidak akan mengapa-apakanmu. ". Mereka bertanya apa yang beliau mahu dan beliau menjawab, "Aku mahu kau menulis perjanjian untukku yang akan menjadi tanda di antara aku dan engkau. ". Muhammad (s.a.w.) mengarahkan supaya perjanjian itu ditulis dan Suraqa mengambilnya dan berlalu dari situ. Semasa beliau hendak pergi, Muhammad berkata kepadanya, "Rahsiakan kedudukan kami. ", dan mereka berpisah.
Suraqa tidak menceritakan peristiwa ini kepada sesiapa sehinggalah beberapa tahun kemudian selepas umat Islam menawan Mekah. Pada masa ini, Suraqa bertemu dengan Muhammad (s.a.w.) membawa perjanjian ini dan memeluk agama Islam.


Apabila Muhammad (s.a.w.) menghampiri Madinah, beliau datang dari bandar Quba (dua batu dari Madinah). Semenjak permulaan hijrah umat Islam ke Madinah, penduduk-penduduk bandar ini telah menanti ketibaannya dengan penuh debaran. Mereka menerima khabar yang beliau telah meninggalkan Mekah dan sedang menuju ke sana. Setiap hari sekumpulan daripada mereka akan pergi ke pinggir bandar pada waktu fajar menyingsing dan menantinya sehingga waktu tengah hari apabila panas mentari memaksa mereka pulang.


Muhammad (s.a.w.) dan Abu Bakar tiba pada hari Isnin, 12hb. Safar (bulan ketiga kalender lunar). Muhammad berusia lima puluh tiga tahun ketika itu. Semasa mereka tiba, penduduk-penduduk bandar itu telah pulang ke rumah pada waktu tengah hari. Orang pertama yang ternampak beliau menjerit sekuat-kuat hati mengumumkan ketibaannya.


Muhammad (s.a.w.) dan Abu Bakar lebih kurang sebaya. Kebanyakan penduduk Madinah tidak pernah bertemu Muhammad (s.a.w.), maka mereka tidak tahu yang mana satu adalah beliau. Apabila Abu Bakar menyedari hal ini, beliau melindunginya dengan jubahnya dan dengan itu orang ramai dapat mengenal Muhammad (s.a.w.).


Dianggarkan terdapat lebih kurang lima ratus orang yang menyambut mereka pada hari tersebut dan orang ramai memanjat bumbung rumah untuk melihatnya dan berteriak, "Yang mana satukah dia? Yang mana satukah dia?", sementara anak-anak dan hamba-hamba abdi memenuhi jalan sambil berteriak, "Tuhan Maha Besar! Utusan Tuhan telah tiba! Tuhan Maha Besar! Muhammad telah tiba!". Orang ramai menyanyi:
Bulang purnama (Muhammad) telah tiba di kalangan kita Dari arah "Thaniyyat al-Wada'a"Segala kesyukuran kepada [Allah] di atas anugerahnya kepada kita Selagi seseorang menyeru ke jalan Allah Wahai engkau yang diutus kepada kami Kau datang dengan perintah yang ditaati Kau membawa berkat kepada bandar ini Selamat datang, wahai yang terbaik.


Masjid Quba, masjid pertama yang dibina dalam sejarah Islam. Kini ia telah diperbesarkan berbanding dengan keadaannya yang sederhana pada zaman Muhammad (s.a.w.)
Muhammad (s.a.w.) tinggal di Quba selama empat hari. Dalam tempoh itu, beliau telah membina asas masjid pertama yang dibina dalam sejarah Islam, iaitu Masjid Quba. Selepas empat hari, beliau bertolak pada hari Jumaat dan bersembahyang Jumaat di Bani Salim bin Quf.
Apabila Muhammad (s.a.w.) memasuki bandar Madinah, orang ramai berebut-rebut untuk mendapatkannya sebagai tetamu di rumah mereka. Mereka memanggilnya, "Tinggallah bersama kami, di bawah perlindungan kami.". Beberapa orang memegang tali untanya untuk membawanya ke rumah mereka. Tetapi setiap kali seseorang berbuat begitu Muhammad (s.a.w.) berkata, "Biarkan (untaku), kerana ia telah diperintahkan [ke mana mahu dituju]."


Muhammad (s.a.w.) melepaskan tali untanya dan membiarkan untanya berjalan bebas. Orang ramai mengikutinya dengan harapan bahawa ia akan berhenti di rumah mereka. Setiap kali ia sampai di sesebuah rumah, melonjaklah harapan tuan rumah bahawa beliau telah dipilih. Dan setiap kali ia melepasi rumah seseorang, tuan rumah kecewa kerana mereka tidak berpeluang menerima tetamu yang terbaik ini, utusan Tuhan. Akhirnya, unta Muhammad (s.a.w.) berhenti dan duduk di suatu kawasan di mana Masjid Nabi berdiri hari ini.


Rumah yang paling hampir dengan kawasan tersebut adalah rumah Khalid bin Zaid Al-Najjari Al-Khuza'i yang lebih dikenali sebagai Abu Ayyub. Abu Ayyub membawa barang-barang Muhammad ke rumahnya dan membersihkan tingkat atas untuknya, dan beliau dan isterinya menduduki tingkat bawah. Beliau berbuat demikian daripada rasa hormat kerana tidak mahu tinggal di atas nabi. Tetapi Muhammad (s.a.w.) membantah kerana beliau menerima ramai tetamu setiap hari dan tidak mahu menyusahkan Abu Ayyub dengan mereka yang keluar masuk untuk menemuinya. Akhirnya Abu Ayyub bersetuju dan tinggal di tingkat atas. Beberapa malam kemudian Abu Ayyub tertepis jag air dan air tumpah ke lantai. Beliau dan isterinya bergegas mengelap air dengan kain mereka kerana bimbang ia tembus dan menitik ke atas Muhammad (s.a.w.). Pagi esoknya, Abu Ayyub merayu supaya Muhammad membenarkannya tinggal di tingkat bawah dan Muhammad (s.a.w.) bersetuju.


Tanah yang di mana unta Muhammad (s.a.w.) berhenti dimiliki oleh dua orang anak yatim daripada suku Banu Al-Najjar bernama Sahil dan Suhail, anak kepada Amr. Tanah ini digunakan sebagai tempat mengeringkan buah kurma. Muhammad (s.a.w.) meminta mereka menjualkan tanah tersebut kepadanya, tetapi mereka berkeras mahu menghadiahkannya. Muhammad (s.a.w.) bertegas enggan menerimanya tanpa sebarang bayaran dan akhirnya mereka menjual tanah tersebut kepadanya. Kemudian beliau mengarahkan supaya masjid dibina di tempat itu. Masjid ini kemudiannya dinamakan "Masjid Nabi Muhammad".


Muhammad (s.a.w.) bekerja bersama-sama umat Islam membina masjid tersebut, mengangkut bata dan menyusunnya. Sepanjang masa ini, beliau akan berdoa, "Ya Tuhanku, sesungguhnya ganjaran sebenar adalah pada hari akhirat. Maka maafkanlah golongan Ansar dan Muhajirin."
Sedang beliau berbuat demikian, umat Islam yang bekerja bersama-samanya membaca sajak sambil membina masjid. Mereka berbuat demikian selama lebih kurang sebelas bulan sehinggalah masjid tersebut siap dibina.


Seperti yang telah dinyatakan, umat Islam yang berhijrah dari Mekah digelar "Muhajirin" (Yang Berhijrah). Umat Islam di Yathrib yang menyambut kedatangan mereka pula digelar "Ansar" (Penyokong). Nama bandar Yathrib kemudiannya ditukar kepada "Al-Madinah Al-Munawarah" (Bandar Yang Diterangi) dan nama ini kekal hingga ke hari ini, tetapi telah dipendekkan kepada "Madinah" sahaja.


Muhammad (s.a.w.) telah memadankan seorang Muhajirin dengan seorang Ansar sebagai saudara. Golongan Ansar bersaing antara satu sama lain untuk menjadi tuan rumah kepada golongan Muhajirin. Mereka membahagi dua apa sahaja milik mereka dan membenarkan tetamu mereka memilih bahagian yang mereka suka. Muhammad (s.a.w.) mengarahkan supaya perjanjian ditulis di antara Muhajirin dan Ansar di mana beliau menggariskan perjanjian damai di antara suku-suku Yahudi di bandar tersebut dan mengesahkan yang mereka bebas untuk mengamalkan agama mereka dan keselamatan harta mereka terjamin. Beliau juga menggariskan hak-hak dan tanggungjawab mereka dan semua pihak dikehendaki mematuhi perjanjian ini. Untuk perincian perjanjian ini sila rujuk "Al-Seeerah Al-Nabawiyyah" oleh Ibn Hisham.


Tidak lama selepas masjid tersebut dibina, umat Islam mulai mengunjunginya lima kali sehari untuk bersembahyang. Kaum Yahudi menggunakan trumpet untuk memanggil orang ramai bersembahyang manakala orang Kristian menggunakan loceng, tetapi Muhammad (s.a.w.) tidak menyukai cara ini. Ada yang mencadangkan supaya bendera dikibarkan, tetapi beliau juga tidak menyukai cara ini. Tidak lama selepas itu, Abdullah bin Zaid menerima mimpi yang menunjukkan cara beliau memanggil orang bersembahyang. Beliau berjumpa Muhammad (s.a.w.) dan menceritakan mimpinya. Muhammad (s.a.w.) berkata bahawa ini adalah petunjuk daripada Tuhan dan mengarahkan Bilal si Habsyah untuk memanggil orang ramai bersembahyang seperti yang diajarkan oleh Abdullah. Sehingga ke hari ini, umat Islam di serata dunia melaungkan Azan untuk memanggil orang ramai bersembahyang iaitu.

Allah Maha Besar! Allah Maha Besar!Allah Maha Besar! Allah Maha Besar!
Aku bersaksi bahawa tiada yang layak disembah melainkan Allah! Aku bersaksi bahawa tiada yang layak disembah melainkan Allah!


Aku bersaksi bahawa Muhammad adalah utusan Allah!Aku bersaksi bahawa Muhammad adalah utusan Allah!


Marilah menunaikan sembahyang!Marilah menunaikan sembahyang!
Marilah menuju kejayaan!Marilah menuju kejayaan!


Allah Maha Besar! Allah Maha Besar!Aku bersaksi bahawa tiada yang layak disembah melainkan Allah!


Enam belas bulan selepas Muhammad (s.a.w.) tiba di Madinah, beliau mengarahkan arah kiblat umat Islam dipindahkan dari masjid suci di Jerusalam ke Kaabah di Mekah. Mulai daripada hari itu, umat Islam mengadap ke arah Kaabah di Mekah apabila bersembahyang.
Terdapat beberapa suku Yahudi yang tinggal di dalam bandar Mekah. Yang paling berpengaruh di antara mereka adalah suku Quraidha, Qainuqaa dan Nadhir. Salah seorang Rabai yang paling berilmu daripada suku Qainuqaa adalah seorang lelaki bernama Al-Husain bin Salam. Apabila Muhammad tiba di Madinah, Al-Husain menyambutnya dan menganut Islam. Muhammad menukar namanya kepada Abdullah (hamba Allah). Oleh itu, beliau dikenali sebagai Abdullah bin Salam. Kita biarkan Abdullah menceritakan kisahnya:


Abdullah bin Salam meriwayatkan:
"Kali pertama aku mendengar mengenai utusan Allah (daripada berita-berita yang datang dari Mekah), aku mengecam gambarannya, namanya dan masanya, kesemuanya adalah apa yang dinanti-nantikan (oleh kaum Yahudi). Ini amat menggembirakanku, tetapi aku berdiam diri sehinggalah utusan Allah datang ke Madinah. Apabila beliau tiba di Quba bersama anak-anak Amr bin Auf, seorang lelaki datang memberitahu kami mengenai kedatangannya. Pada masa itu aku sedang bekerja dan duduk di atas pelepah pohon kurma dan ibu saudaraku, Khalida binti Al-Harith, sedang duduk di bawah pohon tersebut. Apabila aku mendengar berita kedatangannya, aku menjerit memuji Tuhan. Apabila ibu saudaraku mendengarnya, dia menegurku, "Cis! Jika kamu mendengar berita ketibaan Musa anak Imran, kamu tidak akan berbuat begini.". Maka aku menjawab, "Ibu saudaraku, sesungguhnya dia adalah saudara Musa anak Imran dan daripada agama yang sama. Beliau diutuskan oleh yang mengutus Musa.". Ibu saudaraku bertanya, "Sepupuku, adalah dia nabi yang kami dimaklumkan akan tiba sekarang?". Aku menjawab, "Ya". Maka dia berkata, "Baguslah". Lalu aku pun pergi untuk bertemu dengan utusan Allah dan menerima Islam. Kemudian aku kembali kepada keluargaku dan menyuruh mereka menganut Islam, dan mereka berbuat demikian."
Abdullah menyambung:
"Aku merahsiakan daripada kaum Yahudi yang aku telah menganut Islam. Kemudian aku pergi kepada utusan Allah dan berkata kepadanya, "Wahai utusan Alah, Sesungguhnya kaum Yahudi suka membuat fitnah, dan aku meminta kau menyembunyikan aku di dalam rumahmu supaya mereka tidak nampak aku, kemudian tanyalah mereka mengenai peribadiku sebelum mereka mengetahui yang aku telah memeluk Islam. Jika mereka mendapat berita ini, mereka akan memfitnah dan mencaciku. Maka utusan Allah menyembunyikan aku di rumahnya dan meminta mereka berkumpul di hadapannya. Mereka berbual dengannya dan bertanya kepadanya. Akhirnya, beliau bertanya, "Apakah jenis orangnya Al-Husain di kalanganmu?". Mereka menjawab, "Guru kami, anak guru kami. Dia adalah Rabai kami dan adalah seorang sarjana.". Setelah mereka selesai bercakap, aku keluar di hadapan mereka. Aku memberitahu mereka, "Wahai anak-anak Israel, mintalah perlindungan dengan Allah dan terimalah apa yang dibawanya. Demi Allah, kamu tahu yang dialah utusan Allah yang kamu dapati tertulis di dalam Taurat namanya dan gambarannya. Sesungguhnya aku bersaksi bahawa dia adalah utusan Allah. Aku menerimanya, mempercayainya dan mengenalinya.". Mereka berkata, "Kau penipu!". Mereka memburukkan aku bersungguh-sungguh. Maka aku berkata kepada utusan Allah, "Bukankah telah aku katakan mereka suka membuat fitnah? Bangsa yang khianat, penipu dan melampaui batas?". Lalu aku mengisytiharkan penerimaanku dan keluargaku terhadap Islam. Ibu saudaraku juga memeluk Islam dan menjadi Muslim yang patuh. "


Safiyah binti Huyay meriwayatkan cerita berikut mengenai bapa dan bapa saudaranya yang berbangsa Yahudi:
"Apabila Utusan Allah tiba di Quba, bapaku Huyay bin Akhtab dan bapa saudaraku Abu Yaser pergi berjumpa dengannya selepas sembahyang subuh ketika hari masih gelap dan tidak pulang sehinggalah matahari terbenam. Mereka pulang dalam keadaan letih dan tidak bersemangat, dan berjalan perlahan-lahan. Aku mendekati mereka tetapi mereka tidak menoleh pun kepadaku kerana kesedihan mereka. Kemudian aku mendengar bapa saudaraku berkata kepada bapaku, 'Adakah dia orangnya?'. Dia menjawab, 'Demi Tuhan, ya'. Bapa saudaraku berkata, "Adakah kau mengenalinya dan mengecamnya?" Bapaku menjawab, "Ya". Bapa saudaraku berkata, 'Bagaimana perasaanmu terhadapnya?'. Beliau menjawab, 'Demi Allah! Kebencian dan permusuhan selagi aku hidup.'. "


Kaum Quraisy terus menunjukkan rasa permusuhan dan kebencian terhadap umat Islam di Madinah, tetapi Muhammad (s.a.w.) terus memujuk mereka,
"Tahanlah tanganmu (daripada berperang) dan tunaikanlah sembahyang. "
Al-Qur'an, Al-Nisaa (4):77


Setelah umat Islam belajar bersembahyang dan bagaimana merendah diri dalam melaksanakan perintah Allah dan perintah utusanNya, mereka diberikan kebenaran untuk berperang, tetapi ia tidak dimandatkan ke atas mereka. Kebenaran ini diberikan dalam ayat berikut:
"Telah diizinkan (berperang) bagi orang-orang yang diperangi kerana sesungguhnya mereka telah dianiayai. Dan sesungguhnya Allah benar-benar Maha Kuasa menolong mereka itu. "
Al-Qur'an, Al-Hajj (22):39


Muhammad (s.a.w.) mulai menghantar pasukan tentera kepada berbagai suku di kawasan tersebut. Walaupun tentera tersebut tidak selalu bertempur dengan suku-suku tersebut, tujuan utama mereka adalah untuk menimbulkan rasa hormat terhadap kekuatan negara Islam supaya jiran-jiran mereka akan berfikir dua kali sebelum menganiayai mereka. Di antara pasukan tentera tersebut adalah Abdullah bin Jahsh.
Dua tahun selepas hijrah, Muhammad (s.a.w.) menghantar Abdullah bin Jahsh dan pasukan tenteranya ke suatu lokasi berhampiran Mekah untuk mengintip dan membawa balik berita mengenai tindak-tanduk kaum Quraisy. Semasa mereka di sana, satu kabilah kaum Quraisy lalu di situ dan selepas perbincangan yang panjang, pasukan tersebut memutuskan untuk menyerang dan merampasnya. Mereka berbuat demikian pada bulan Rejab, salah satu daripada "bulan haram", yang selama berabad-abad telah diiktiraf oleh bangsa Arab sebagai bulan di mana mereka dilarang berperang. Semasa menyerang kabilah tersebut, mereka membunuh seorang lelaki dan menawan dua orang yang lain. Kemudian mereka membawa kabilah tersebut ke Madinah dan menyembahkannya kepada Muhammad (s.a.w.).


Apabila Muhammad (s.a.w.) melihat apa yang telah mereka lakukan, beliau berkata, "Aku tidak mengarahkanmu berperang dalam bulan haram! Aku tidak mengarahkanmu berperang dalam bulan haram!", dan beliau enggan mengambil apa-apa dari kabilah tersebut.
Semua umat Islam ditegur dengan keras dan dinasihatkan sehingga mereka merasa yang mereka telah kalah. Pada masa ini, ayat berikut diturunkan:
"Mereka bertanya kepadamu tentang berperang pada bulan haram. Katakanlah: "Berperang dalam bulan itu adalah dosa besar; tetapi menghalang (manusia) dari jalan Allah, kafir kepada Allah, (menghalang masuk) Masjidilharam dan mengusir penduduk sekitarnya lebih besar (dosanya) di sisi Allah. Dan membuat fitnah lebih besar (dosanya) daripada membunuh... "
Al-Qur'an, Al-Baqarah (2):217

0 Comments:

Post a Comment



Newer Post Older Post Home