P'janjian Hudaibiah dan P'bukaan Mekah

Pada tahun keenam selepas hijrah, Muhammad (s.a.w.) bermimpi beliau memasuki Mekah dan melakukan tawaf (mengelilingi) di Kaabah. Mimpi tersebut tidak memberikan tarikh tertentu tetapi beliau sedar yang tidak lama lagi beliau akan menawan Mekah. Muhammad (s.a.w.) memerintahkan pengikut-pengikutnya bersedia untuk Umrah (haji kecil) ke Mekah.

Pada bulan kesebelas (bulan Zulhijah) tahun keenam, Muhammad bertolak ke Mekah bersama lebih kurang 1500 orang. Beliau tidak berniat untuk berperang, tetapi hanya mahu menunaikan haji. Penduduk Mekah mendengar berita kedatangan mereka dan bimbangkan nyawa mereka. Apabila beliau tiba di Hudaibiah, untanya berhenti dan duduk. Umat Islam berkata, "Al Qaswa (nama unta tersebut) enggan mara! ". Muhammad (s.a.w.) menjawab, "Tidak! Bukan dia enggan mara, juga ini bukan sifatnya. Tetapi apa yang menghalang gajah (pada tahun gajah yang telah diceritakan) telah menghalangnya. "
Kemudian beliau berkata, "Kaum Quraisy tidak akan datang kepadaku dengan membawa nama Tuhan dan menghormati tali persaudaraan melainkan aku menerimanya. ". Kemudian beliau mencuit untanya dan menegurnya lalu ia bangun dan terus berjalan.


Kaum Quraisy pergi berjumpa Muhammad dan membuat perjanjian yang menyatakan bahawa umat Islam tidak boleh menunaikan haji pada tahun tersebut, tetapi perlu menunggu hingga tahun hadapan. Dan sesiapa daripada kaum Quraisy yang pergi meminta perlindungan umat Islam tanpa kebenaran tuannya mesti dikembalikan kepada kaum Quraisy. Dan sesiapa daripada umat Islam yang meminta perlindungan Quraisy dibenarkan tinggal bersama mereka. Mereka juga bersetuju untuk melaksanakan gencatan senjata selama sepuluh tahun dan sesiapa yang mahu berdamai dengan Muhammad boleh berbuat demikian, dan sesiapa yang mahu berdamai dengan Quraisy juga boleh berbuat demikian. Muhammad (s.a.w.) bersetuju dan perjanjian ini dinamakan "Perjanjian Hudaibiah".


Umat Islam menjadi bingung apabila Muhammad menerima perjanjian ini. Mengapakah beliau sanggup menerima perjanjian yang (pada pendapat mereka) amat berat sebelah? Namun Muhammad (s.a.w.) mengarahkan mereka pulang dan mereka patuh.


Selama setahun berikutnya, Muhammad (s.a.w.) mematuhi janjinya dan sesiapa yang datang meminta pelindungannya tanpa kebenaran tuannya dipulangkan kepada kaum Quraisy. Akhirnya, mereka ini melarikan diri daripada kaum Quraisy, menjadi penjenayah dan menahan kabilah-kabilah Quraisy dan menakut-nakutkan mereka. Akhirnya, kaum Quraisy merayu Muhammad (s.a.w.) untuk menerima mereka yang meminta pelindungannya dan beliau bersetuju.


Salah satu akibat perjanjian tersebut adalah penduduk Arab akhirnya dapat menganut Islam tanpa bimbangkan penindasan atau dibunuh. Umat Islam dapat mengembara untuk berjumpa berbagai suku dan membacakan Qur'an kepada mereka dengan bebas, tanpa sebarang sekatan. Dalam tempoh setahun (selepas perjanjian tersebut), lebih ramai yang menganut Islam berbanding dalam tempoh lima belas tahun sebelumnya. Salah satu buktinya adalah pada kali pertama umat Islam cuba menunaikan haji (pada tahun perjanjian tersebut dibuat), 1500 umat Islam bersama Muhammad (s.a.w.). Pada tahun berikutnya, lebih sepuluh ribu umat Islam bersamanya untuk menunaikan haji.


Allah berfirman di dalam Qur'an:
"... Boleh jadi kamu membenci sesuatu padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu padahal ia amat buruk bagimu; Allah mengetahui sedang kamu tidak mengetahui. "
Al-Qur'an, Al-Baqarah (2):216


Dianggarkan bahawa surat-surat Muhammad (s.a.w.) kepada raja-raja di negara-negara yang berdekatan dihantar pada sekitar tahun keenam selepas hijrah. Antara lain, Muhammad (s.a.w.) menghantar utusan kepada pemimpin-pemimpin Rom, Parsi, Mesir dan Habsyah. Ini adalah permulaan seruan Islam secara sejagat. Allah berfirman di dalam Qur'an:
"Dan Kami tidak mengutus kamu melainkan kepada umat manusia seluruhnya sebagai pembawa berita gembira dan sebagai pemberi peringatan, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui. "
Al-Qur'an, Saba' (34):28


Dan juga: "Katakanlah: "Hai manusia, sesungguhnya aku adalah seorang pemberi peringatan yang nyata kepada kamu. "
Al-Qur'an, Al-Hajj (22):49


Semasa Muhammad (s.a.w.) mahu menghantarkan surat tersebut, dikatakan kepadanya, "Mereka tidak akan menerima surat tersebut tanpa cop mohor. ". Maka cincin logam dibuat untuknya dengan perkataan "Muhammad, Utusan Allah" diukir padanya. Ini menjadi mohor rasminya.
Surat Muhammad kepada raja Parsi, Khosru (590-628 M) adalah seperti berikut:
"Dengan Nama Tuhan, Maha Penyayang, Maha Pemurah. Daripada Muhammad, Utusan Tuhan kepada Khosru, raja Parsi yang agung. Sejahtera ke atas sesiapa yang mengikuti petunjuk [yang benar], dan beriman dengan Tuhan dan utusanNya, dan bersaksi bahawa tiada tuhan melainkan Allah dan bahawa aku adalah utusan Allah kepada semua manusia supaya aku dapat memberi peringatan kepada [semua] yang hidup. Anutilah Islam dan kamu akan selamat dan damai. Tetapi jika kamu enggan, di atas bahumu tertanggung dosa golongan Zoroastrian. "


Suratnya kepada raja Habsyah (waris kepada raja yang menerima umat Islam yang berhijrah sebelum ini) adalah seperti berikut:
"Dengan Nama Tuhan, Maha Penyayang, Maha Pemurah. Daripada Muhammad, Utusan Tuhan kepada Negashi, raja Habsyah yang agung. Sejahtera ke atas sesiapa yang mengikuti petunjuk [yang benar], aku bersyukur kepada Tuhan bagi pihakmu, Dia yang tiada tuhan melainkan Dia. Raja Yang Suci, Sumber Kedamaian dan Kesempurnaan, Pemberi keselamatan, dan Pelindung. Dan aku bersaksi bahawa Jesus putera Maryam adalah roh Tuhan dan firmanNya yang diturunkannya kepada Maryam, perawan yang suci. Maka beliau melahirkannya daripada rohNya yang ditiupkanNya, seperti mana Dia telah menciptakan Adam dengan tanganNya. Aku menjemput kamu kepada Tuhan yang Esa. Dia tidak mempunyai sekutu. Dan [aku menjemputmu] kepada persahabatan dan ketekunan mematuhiNya, untuk mengikutiku dan mempercayai apa yang telah didatangkan kepadaku. Kerana aku adalah utusan Tuhan, dan aku menjemputmu dan tenteramu kepada Tuhan Yang Suci dan Tinggi. [Sesungguhnya], aku telah menyampaikan [ajaran in] dan menasihatimu, maka terimalah nasihatku. Dan sejahtera ke atas sesiapa yang mengikuti petunjuk [yang benar]. "


Surat Muhammad saw kepada raja Koptik, "Al-Muqokas", berbunyi:
"Dengan Nama Tuhan, Maha Penyayang, Maha Pemurah. Daripada Muhammad, hamba dan Utusan Tuhan kepada 'Al-Muqokas' yang agung dari Koptik. Sejahtera ke atas sesiapa yang mengikuti petunjuk [yang benar]. [Selanjutnya], aku menyapamu dengan sapaan Islam. Terimalah Islam dan kamu akan damai dan selamat. Terimalah Islam dan Tuhan akan menggandakan ganjaranmu. Tetapi jika kamu menolaknya di atas bahumu tertanggung dosa bangsa Koptik. {Katakanlah: "Hai Ahli Kitab, marilah kepada suatu kalimat (ketetapan) yang tidak ada perselisihan antara kami dan kamu, bahawa tidak kita sembah kecuali Allah dan tidak kita persekutukan Dia dengan sesuatu pun dan tidak (pula) sebahagian kita menjadikan sebahagian yang lain sebagai tuhan selain daripada Allah. Jika mereka berpaling maka katakanlah kepada mereka: "Saksikanlah, bahawa kami adalah orang-orang yang menyerahkan diri (kepada Allah). [4] "


Surat Muhammad saw kepada Hercules (610-641 M) berbunyi:
"Dengan Nama Tuhan, Maha Penyayang, Maha Pemurah. Daripada Muhammad, hamba dan Utusan Tuhan kepada Hercules yang agung dari Koptik. Sejahtera ke atas sesiapa yang mengikuti petunjuk [yang benar]. [Selanjutnya], aku menyapamu dengan sapaan Islam. Terimalah Islam dan kamu akan damai dan selamat. Terimalah Islam dan Tuhan akan menggandakan ganjaranmu. Tetapi jika kamu menolaknya di atas bahumu tertanggung dosa 'Ariusin [5]. (Katakanlah: "Hai Ahli Kitab, marilah kepada suatu kalimat (ketetapan) yang tidak ada perselisihan antara kami dan kamu, bahawa tidak kita sembah kecuali Allah dan tidak kita persekutukan Dia dengan sesuatu pun dan tidak (pula) sebahagian kita menjadikan sebahagian yang lain sebagai tuhan selain daripada Allah. Jika mereka berpaling maka katakanlah kepada mereka: "Saksikanlah, bahawa kami adalah orang-orang yang menyerahkan diri (kepada Allah)). "


Mengkaji secara terperinci tindak balas raja-raja tersebut terhadap surat-surat Muhammad saw adalah di luar skop perbahasan ini. Sila rujuk buku-buku lain. Bagaimanapun, satu jawapan akan dibincangkan sepintas lalu, iaitu jawapan kaisar Rom (Hercules).

Abdullah bin Abbas meriwayatkan kisah ini di dalam Sahih Bukhari. Beliau berkata:
"Rasulullah (s.a.w.) menulis surat kepada Kaisar dan menjemputnya menerima Islam. Rasulullah (s.a.w.) mengutus Dihyah al-Kalbi untuk menyampaikan suratnya dan mengarahkannya menyerahkan surat tersebut kepada Gabenor Busrah yang akan menyampaikannya kepada Kaisar, yang pada masa itu telah mengembara dari Hims ke Ilya (iaitu Jerusalam) sebagai tanda kesyukuran kepada Allah yang telah menganugerahkannya kemenangan ke atas tentera Parsi.
Maka apabila surat Rasulullah (s.a.w.) sampai kepada Kaisar, selepas membacanya baginda berkata, "Bawa kepadaku mana-mana pengikutnya, jika ada, supaya aku dapat bertanya kepadanya mengenai Muhammad". Pada masa itu, Abu Sufyan bin Harb [
6] berada di Sham bersama beberapa orang Quraisy yang telah pergi ke sana sebagai pedagang semasa tempoh damai yang telah dimeterai di antara Rasulullah (s.a.w.) dan golongan penyembah berhala Quraisy.
Abu Sufyan berkata, "Utusan Kaisar menemui kami berhampiran Sham dan membawaku dan sahabat-sahabatku ke Ilya (Jerusalam). Kami dibawa mengadap kaisar dan mendapati baginda sedang duduk di situ memakai mahkotanya dan dikelilingi oleh orang-orang kenamaan kanan Bizantin. Baginda berkata kepada penterjemahnya, 'Tanya mereka siapakah di antara mereka paling dekat persaudaraannya dengan lelaki yang mengaku dirinya nabi.". Abu Sufyan menjawab, "Aku paling dekat dengannya". Baginda bertanya, "Apakah hubungan kamu dengannya?". Aku menjawab, "Saya adalah sepupunya.", dan tiada seorang pun daripada Bani Abdul Manaf [
7] di dalam kabilah tersebut selain aku. Kaisar berkata, "Biarkan dia datang lebih hampir.". Kemudian baginda mengarahkan sahabat-sahabatku berdiri berdekatan di belakangku dan berkata kepada penterjemahnya, "Beritahu sahabat-sahabatnya yang aku akan bertanya kepadanya mengenai lelaki yang mengaku dirinya nabi. Jika dia berbohong, mereka hendaklah menunjukkan sesuatu tanda.
Abu Sufyan menambah, "Demi Allah! Bukankah memalukan jika sahabat-sahabatku menganggap aku seorang penipu. Aku tidak sepatutnya berkata yang benar mengenai Muhammad apabila ditanya Kaisar. Tetapi aku rasa adalah lebih memalukan dianggap sebagai penipu oleh sahabat-sahabatku. Maka aku berkata benar [
8].


Kaisar berkata kepada penterjemahnya, "Tanyakan kepadanya Muhammad daripada keluarga yang bagaimana.". Aku menjawab, "Beliau berasal daripada keluarga bangsawan di kalangan kami.". Baginda berkata, "Adakah sesiapa di kalangan kamu yang telah membuat dakwaan yang sama sepertinya?". Aku menjawab, "Tidak". Baginda bertanya, "Pernahkah dia berbohong sebelum dia mendakwa apa yang didakwanya?". Aku menjawab, "Tidak". Baginda bertanya, "Pernahkah sesiapa di kalangan nenek moyangnya yang menjadi raja?". Aku menjawab, "Tidak.". Baginda bertanya, "Adakah pengikut-pengikutnya daripada golongan bangsawan atau golongan miskin?". Aku menjawab, "Pengikut-pengikutnya adalah golongan miskin.". Baginda bertanya, "Adakah bilangan mereka bertambah atau berkurang?". Aku menjawab, "Bertambah". Baginda bertanya, "Adakah sesiapa di kalangan mereka yang menjadi tidak suka dengan agamanya dan meninggalkannya?". Aku menjawab, "Tidak". Baginda bertanya, "Pernahkah dia mungkir janji?". Aku menjawab, "Tidak, tetapi kami memeterai perjanjian damai dengannya dan kami bimbang dia mengkhianati kami.". Abu Sufyan menambah, "Selain daripada ayat yang terakhir, aku tiada apa-apa bantahan terhadapnya.". kaisar kemudian bertanya, "Pernahkah kamu berperang dengannya?". Aku menjawab, "Ya". Baginda berkata, "Apakah keputusan peperangan tersebut?". Aku menjawab, "Keputusannya berbagai, ada kalanya dia menang dan ada kalanya kami menang.". Baginda bertanya, "Apakah yang dia perintahkan kamu lakukan?". Aku berkata, "Dia menyuruh kami menyembah Allah sahaja dan tidak menyembah selain daripadaNya, dan untuk meninggalkan apa yang disembah oleh nenek-moyang kami. Dia menyuruh kami bersembahyang, bersedekah, mensucikan diri, berpegang kepada janji dan memulangkan apa yang diamanahkan kepada kami.".


Setelah aku berkata begitu, Kaisar berkata kepada penterjemahnya, "Katakan kepadanya: Aku bertanyakan kamu tentang keturunannya dan kamu menjawab yang dia dari keluarga bangsawan. Sesungguhnya semua utusan-utusan Tuhan adalah daripada golongan bangsawan bangsanya. Kemudian aku bertanya jika ada sesiapa di kalangan kamu yang mendakwa hal yang serupa, dan jawapanmu adalah tidak. Jika jawapanmu adalah ya, maka aku akan menyangka yang orang ini mengikuti apa yang telah dilakukan oleh orang lain. Bila aku bertanya sama ada dia pernah berbohong, jawapanmu adalah tidak, maka aku mengandaikan yang jika seseorang tidak berbohong mengenai orang lain maka dia tidak akan berbohong mengenai Tuhan. Kemudian aku bertanya sama ada nenek-moyangnya yang menjadi raja. Jawapanmu tidak, dan jika jawapanmu adalah ya, aku akan mengandaikan yang orang ini cuba menghidupkan semula kerajaan nenek-moyangnya.


Kemudian aku bertanya sama ada pengikut-pengikutnya daripada golongan kaya atau miskin, dan jawapanmu adalah golongan miskin. Sesungguhnya demikianlah pengikut-pengikut utusan-utusan Tuhan. Kemudian aku bertanya sama ada bilangan pengikutnya bertambah atau berkurang. Kamu menjawab yang bilangan mereka bertambah. Sesungguhnya ini adalah kesan agama yang benar sehinggalah ia lengkap (daripada semua segi). Saya bertanya jika ada sesiapa selepas menganut agama tersebut merasa tidak suka dan meninggalkannya; jawapanmu adalah tidak. Sesungguhnya ini adalah tanda agama yang benar kerana keberkatannya dan ia bersatu dengan hati, maka tiada sesiapa yang tidak menyukainya.


Aku bertanya sama ada dia pernah memungkiri janji. Kamu menjawab tidak. Demikanlah utusan-utusan Tuhan; mereka tidak pernah mungkir janji. Apabila aku bertanya sama ada kamu memeranginya dan dia memerangi kamu, kamu menjawab ada, dan bahawa kadang kala dia menang dan kadang kala kamu menang. Sesungguhnya demikianlah utusan-utusan Tuhan; mereka dikenakan ujian dan kemenangan terakhir adalah milik mereka.


Kemudian aku bertanya apa perintahnya terhadap kamu. Kamu menjawab bahawa dia menyuruh kamu menyembah Allah sahaja dan supaya tidak menyembah selainNya, untuk meninggalkan apa yang disembah oleh nenek moyang kamu, supaya bersembahyang, bercakap benar, mensucikan diri, berpegang pada janji dan mengembalikan apa yang diamanahkan kepadamu. Ini adalah sifat-sifat seorang nabi yang aku ketahui (daripada Kitab-kitab terdahulu), tetapi aku tidak tahu bahawa dia akan datang dari kalangan kamu. Jika apa yang kamu katakan adalah benar, tidak lama lagi dia akan menawan tanah yang aku pijak dan jika aku tahu yang aku pasti akan menemuinya, aku akan pergi menemuinya, dan jika aku menemuinya, aku pasti akan membasuh kakinya.
"


Kemudian Kaisar mengumpulkan semua golongan bangsawan dan pemimpin-pemimpin tentera dan bertanya apakah jawapan mereka terhadap permintaan Muhammad. Istana menjadi gempar dan pegawai-pegawai menyuarakan bangkangan mereka. Apabila baginda melihat hal ini, baginda segera mencelah dan berkata yang beliau bertanya demikian hanya untuk menguji pendirian mereka. Maka baginda menukar keputusan awalnya dan enggan menerima utusan Muhammad.


Jabir bin Samurah meriwayatkan dalam Sahih Bukhari:
"Rasulullah (s.a.w.) berkata: "Setelah Khusraw musnah, tiada lagi Khusraw selepasnya; dan apabila Kaisar Rom musnah, tiada lagi kaisar selepasnya. Demi Dia yang nyawaku di dalam genggamanNya, kamu akan membelanjakan harta mereka di jalan Allah. "


Genap setahun kemudian, pada bulan kesebelas tahun ketujuh selepas hijrah, Muhammad (s.a.w.) dan pengikut-pengikutnya bertolak ke Mekah sekali lagi dan kali ini dibenarkan memasuki bandar tersebut untuk menunaikan haji.


Salah satu syarat perjanjian Hudaibiah adalah sesiapa yang ingin membuat perjanjian dengan Muhammad boleh berbuat demikian dan sesiapa yang ingin membuat perjanjian dengan Quraisy boleh berbuat demikian. Di antara yang membuat perjanjian dengan Muhammad adalah suku Khuza'a sementara di antara yang membuat perjanjian dengan Quraisy adalah suku Banu Bikr.


Suku Khuza'a dan Banu Bikr adalah musuh turun-temurun. Kebencian dan permusuhan di antara mereka diturunkan daripada generasi ke generasi. Apabila Islam tiba, ia menamatkan hal ini dan semua orang meneruskan kehidupan mereka. Setelah kedua-dua pihak mengikat perjanjian dengan pihak Quraisy dan Islam, suku Banu Bikr menyerang beberapa orang daripada suku Khuza'a pada waktu malam ketika mereka berada di salah sebuah telaga mereka dan telah membunuh ramai di antara mereka. Beberapa orang daripada kaum Quraisy telah membantu Banu Bikr melakukan serangan dengan membekalkan senjata dan tenaga. Mereka daripada suku Khuza'a yang berjaya melepaskan diri pergi ke masjid suci di Mekah (di mana terletaknya Kaabah). Setelah mereka berada di dalam masjid, orang-orang suku Banu Bikr berkata, "Mereka telah berada di masjid suci. Tuhanku! Tuhanku!". Beberapa yang lain berkata, "Tiada Tuhan hari ini! Jika kau membenarkan mereka terlepas hari ini, maka kau tidak akan mendapat peluang seperti ini lagi.".


Amr bin Salim daripada suku Khuza'a dengan segera pergi bertemu Rasulullah (s.a.w.) dan membacakan kepadanya beberapa patah sajak di mana beliau meminta berpegang kepada perjanjian di antara umat Islam dan Khuza'a. Muhammad (s.a.w.) berkata, "[Maka] terimalah bantuan kami, wahai Amr bin Salim!".


Qur'an mengarahkan umat Islam mengesahkan sebarang dakwaan sebelum bertindak untuk mengelakkan pihak yang tidak bersalah menjadi mangsa ketidakadilan. Atas sebab ini, Muhammad (s.a.w.) menghantar seorang utusan bernama Dhamrah kepada pihak Quraisy untuk mengesahkan berita ini dan memberikan amaran. Utusan tersebut diarahkan memberikan mereka salah satu daripada tiga pilihan:



Sama ada menyuruh pembunuh-pembunuh tersebut membayar "diya" (wang pampasan yang dibayar kerana jenayah membunuh) kepada keluarga mangsa, atau

Membatalkan perjanjian mereka dengan kumpulan yang telah melakukan jenayah tersebut, dan mereka ini adalah golongan "Nufasa" daripada suku Banu Bikr, atau

Kaum Quraisy boleh membatalkan perjanjian di antara umat Islam dan Quraisy.


Qur'an berkata:
"Dan jika kamu mengetahui pengkhianatan daripada satu golongan, maka kembalikanlah perjanjian itu kepada mereka secara jujur. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang khianat. "
Al-Qur'an, Al-Anfal (8):58


Kaum Quraisy memilih pilihan ketiga dan membatalkan perjanjian tersebut. Bagaimanapun, tidak lama selepas utusan Muhammad (s.a.w.) pergi, para bangsawan Quraisy menyesali keputusan mereka dan bimbangkan akibat keputusan tersebut. Maka mereka menghantar seorang yang paling dihormati di kalangan bangsawan mereka, iaitu Abu Sufyan, untuk membaharui perjanjian tersebut dan menambahkan syaratnya, tetapi Muhammad (s.a.w.) enggan bertemu dengannya dan beliau pulang dengan tangan kosong.


Muhammad (s.a.w.) dan umat Islam bersedia untuk mara ke Mekah. Pada mulanya beliau merahsiakan tujuannya. Tetapi sebelum mereka bertolak ke Mekah, beliau memberitahu mereka tujuan mereka ke sana. Semasa beliau memaklumkan mereka, beliau berdoa kepada Tuhan, "Ya Tuhanku, halanglah pengintip-pengintip mereka dan berita ini daripada sampai kepada kaum Quraisy supaya kami dapat mengejutkan mereka di bandar mereka. "


Hatib bin Abi Balta'a adalah seorang Muslim di Yathrib yang mempunyai saudara di Mekah. Apabila beliau mendapat tahu tujuan Muhammad, beliau menulis surat untuk memberi amaran kepada kaum Quraisy dan mengupah seorang wanita untuk menyampaikan surat itu kepada kaum Quraisy dengan segera.
Tidak lama selepas wanita ini bertolak, malaikat Jibril datang kepada Muhammad (s.a.w.) memaklumkannya akan tindakan Hatib. Maka beliau menghantar Ali bin Abi Talib dan Zubair bin Al-Awwam untuk mendapatkan surat tersebut daripada wanita tersebut sebelum beliau menyampaikannya kepada kaum Quraisy. Ali dan Zubair bergegas menunggang kuda mereka lalu mengejar wanita tersebut dan bertembung dengannya sebelum beliau sampai ke Mekah. Mereka mengarahkannya turun daripada untanya dan meminta beliau menyerahkan surat tersebut kepada mereka. Beliau berkata yang beliau tidak mempunyai surat, maka beliau menggeledah barang-barangnya dengan teliti tetapi tidak menjumpai surat tersebut. Lalu Ali berkata, "Aku bersumpah dengan nama Allah bahawa utusan Allah tidak berbohong, dan kami tidak berbohong. Kau akan menyerahkan surat tersebut atau kami akan membogelkan kamu [sehingga kami menemuinya]!". Apabila beliau nampak yang mereka bersungguh-sungguh, beliau meminta mereka berpaling. Setelah mereka berpaling, beliau mengeluarkan surat tersebut daripada tocang rambutnya dan menyerahkannya kepada mereka.


Muhammad (s.a.w.) memanggil Hatib dan apabila beliau tiba, beliau berkata, "Jangan terlalu cepat menghukumku wahai Rasulullah. Demi Allah, Aku beriman dengan Allah dan utusanNya dan aku tidak meninggalkan agamaku, tetapi aku tidak mempunyai keluarga di kalangan kaum Quraisy, dan aku mempunyai saudara mara yang tinggal di kalangan mereka. Tambahan lagi, aku tidak mempunyai keluarga yang melindungi mereka ini, tetapi kamu yang mempunyai keluarga [di kalangan] kaum Quraisy akan melindungi saudara mara kamu. Maka aku berharap agar semasa ketiadaanku mereka akan membantu melindungi keluargaku. "


Apabila Umar bin Al-Khattab mendengar kata-katanya, beliau berkata, "Benarkan aku memukul lehernya wahai rasulullah, kerana dia telah mengkhianati Allah dan RasulNya dan telah murtad! ". Muhammad menoleh kepada Umar dan berkata, "Dia telah berjuang di Badar. Dan tahukah kamu wahai Umar, mungkin Tuhan telah melihat mereka yang berjuang di Badar dan berfirman kepada mereka 'Lakukanlah apa yang kamu mahu kerana aku telah memaafkan kamu [semua]. ". Apabila Umar mendengar kata-kata ini beliau menangis dan berkata, "Tuhan dan rasulNya lebih mengetahui. ".


Lapan setengah tahun selepas hijrah, pada bulan Ramadan. Muhammad (s.a.w.) bertolak ke Madinah bersama sepuluh ribu umat Islam. Apabila mereka tiba di "Mar Al-Dhahran" mereka berhenti dan berkhemah. Allah telah menunaikan doa Muhammad dan berita tersebut tidak sampai ke pengetahuan kaum Quraisy. Sepanjang pengetahuan mereka, perjanjian tersebut telah dibatalkan dan mereka belum menerima berita tentang tindakan Muhammad.


Dalam perjalanan ke Mekah, sepupu Muhammad, iaitu Abu Sufyan bin Al-Harith bin Abdul Muttalib, menemuinya. Muhammad enggan bercakap dengannya disebabkan permusuhan dan penyeksaannya pada masa lalu. Akhirnya Abu Sufyan mengalah dan pergi bertemu Ali mengadu hal tersebut dan meminta nasihatnya.


Ali menasihatkan Abu Sufyan pergi berdiri betul-betul di hadapan Muhammad (s.a.w.) dan membacakan kepadanya kata-kata yang diucapkan oleh abang-abang nabi Yusuf (a.s.) kepadanya:
"... Demi Allah, sesungguhnya Allah telah melebihkanmu atas kami dan sesungguhnya kami adalah orang-orang yang bersalah. "
Al-Qur'an, Yusuf (12):91


Ali menjelaskan, "Sesungguhnya Muhammad (s.a.w.) amat suka jika seseorang bercakap dengan cara yang baik (dan dari semua segi kelakuannya) daripadanya". Abu Sufyan pergi kepada Muhammad (s.a.w.) seperti yang disuruh, berdiri betul-betul di hadapannya dan membacakan ayat di atas. Apabila beliau berbuat demikian, Muhammad memandangnya dan menjawab dengan membacakan ayat berikut:
"... Pada hari ini tiada cercaan terhadap kamu, mudah-mudahan Allah mengampunkan kamu, dan Dia adalah Maha Penyayang di antara para penyayang. "
Al-Qur'an, Yusuf (12):92


Abu Sufyan memeluk agama Islam dan mulai hari itu tidak pernah memandang wajah Muhammad (s.a.w.) secara langsung kerana malu akan perbuatan lampaunya [9].


Sebelum memasuki Mekah, Muhammad (s.a.w.) cuba seupaya-upaya untuk menjamin keselamatan setiap penduduk Mekah kecuali mereka yang menolaknya. Sebelum mereka memasuki Mekah, Muhammad berkata kepada tentera Islam, "Sesiapa yang memasuki rumah Abu Sufyan diberi perlindungan. Dan sesiapa yang menutup pintunya diberi perlindungan. Dan sesiapa yang memasuki masjid suci diberi perlindungan.". Muhammad memberi amaran keras kepada tentera Islam supaya tidak menyerang sesiapa yang tidak menyerang mereka terlebih dahulu. Beliau juga memberi amaran kepada mereka supaya tidak merampas wang, harta, rumah, atau mencederakan penduduk.


Direkodkan bahawa Muhammad (s.a.w.) memasuki Mekah pada hari Jumaat, 20hb. Ramadan (bulan kesembilan) pada tahun kelapan selepas hijrah. Muhammad (s.a.w.) mengarahkan Al-Abbas meletakkan Abu Sufyan di suatu tempat di dalam bandar tersebut di mana beliau dapat melihat tentera Islam masuk. Apabila suku-suku daripada tentera Islam yang memegang bendera mereka lalu, Abu Sufyan bertanya Al-Abbas, "Siapakah kumpulan ini? ", dan Al-Abbas memberitahunya, sehingga akhirnya Muhammad (s.a.w.) lalu bersama pasukan yang memakai jubah hijau dan baju besi, yang panjangnya saujana mata memandang. Abu Sufyan berseru, "Ya Tuhanku! Siapakah mereka? ". Al-Abbas menjawab, "Ini adalah utusan Allah bersama golongan Muhajirin dan Ansar. ". Abu Sufyan berkata, "Tiada tentera yang dapat mengalahkan mereka! Demi Tuhan wahai Abbas, sesungguhnya amat besar kuasa anak saudaramu (Muhammad) pada hari ini! ". Al-Abbas menjawab, "Ini adalah kerana kenabiannya. ". Abu Sufyan menjawab, "Sungguh menakjubkan. ".


Semasa tentera Islam memasuki Mekah dan memang, Muhammad menundukkan kepalanya, merendah diri kepada Tuhan yang telah mengurniakannya kemenangan tanpa menumpahkan darah. Beliau menundukkan kepalanya dengan begitu rendah sehingga kepalanya hampir mencecah belakang untanya. Pada masa itu, beliau membaca surah Al-Fath(48):
"Sesungguhnya Kami telah memberikan kepadamu kemenangan yang nyata, supaya Allah memberi keampunan kepadamu terhadap dosamu yang telah lalu dan yang akan datang serta menyempurnakan nikmatNya atasmu dan memimpinmu ke jalan yang lurus... " sehingga ke akhir surah tersebut.


Semasa Muhammad dan tenteranya mara ke pusat Mekah, ibu kota Tanah Arab yang juga merupakan pusat politik dan pusat keagamaan, beliau melakukannya dengan tenang, merendah diri dan adil. Seorang lelaki bercakap dengannya pada hari itu dalam keadaan menggeletar ketakutan. Sedang beliau bercakap, Muhammad (s.a.w.) menenangkannya dengan berkata, "Tenangkan hatimu, kerana aku bukanlah seorang raja. Aku hanyalah seorang anak wanita Quraisy yang memakan daging. ".
Semasa Saad bin Ubadah (salah seorang pemimpin golongan Ansar) lalu di hadapan Abu Sufyan, beliau berkata kepadanya, "Hari inilah adalah hari sajak-sajak yang agung (untuk memperingati hari ini). Hari ini apa yang haram dihalalkan. Hari ini Allah akan menghinakan kaum Quraisy. ". Apabila Muhammad (s.a.w.) lalu di hadapannya, Abu Sufyan mengadu kepadanya mengenai apa yang dikatakan oleh Saad. Muhammad tidak suka apa yang didengarnya lalu berkata, "Sebaliknya, hari ini adalah hari belas kasihan. Hari ini Tuhan akan memuliakan kaum Quraisy dan Kaabah. ". Muhammad (s.a.w.) mengarahkan supaya panji-panji diambil daripada Saad dan diberikan kepada anaknya Kais.
Beberapa pergelutan kecil berlaku di antara beberapa orang Quraisy yang cuba menyerang tentera Islam tetapi cubaan mereka dipatahkan. Direkodkan bahawa hanya dua belas orang cedera semasa pembukaan Mekah.


Muhammad (s.a.w.) memasuki masjid suci dan tawaf di Kaabah sambil memegang busur. Sambil tawaf, beliau mencucuk 360 berhala yang terdapat di sekeliling Kaabah dengan busurnya dan membaca:
"Dan katakanlah, "Yang benar telah datang dan yang batil telah lenyap"
Al-Qur'an, Al-Israa' (17):81


Muhammad (s.a.w.) mengarahkan semua berhala dipindahkan dari Kaabah dan dimusnahkan. Kemudian Muhammad (s.a.w.) berdiri di hadapan pintu Kaabah. Orang ramai telah berkumpul di belakangnya dan memenuhi masjid untuk mengetahui nasib mereka. Akhirnya beliau berkata:
"Tiada Tuhan yang layak disembah melainkan Allah, Dia tidak mempunyai sekutu. Dia telah menunaikan janjiNya, mengurniakan kemenangan kepada hamba-hambanya, dan mengalahkan golongan bersekutu dengan sendiriNya. [Aku mengumumkan bahawa] semua keagungan, wang dan darah telah diletakkan di bawah kakiku, kecuali "sidanah" (penjaga Kaabah) dan "siqaya" (memberi minum jemaah haji) [10]... Wahai kaum Quraisy, aku membebaskanmu daripada perasaan megah zaman jahiliah, dan kemegahan terhadap keturunanmu. Manusia berasal daripada Adam, dan Adam dicipta daripada tanah. "


Kemudian beliau membaca, "Hai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu daripada seorang lelaki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling berkenalan. Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertakwa di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal. ".
Al-Qur'an, Al-Hujarat (49):13)


Kemudian Muhammad (s.a.w.) bertanya orang ramai, "Wahai kaum Quraisy, pada pendapat kamu, apakah yang akan aku lakukan terhadapmu? ". Orang ramai mengenang kembali penyeksaan dan peperangan terhadap Muhammad dan umat Islam selama dua puluh satu tahun (13+8) dan mereka mengandaikan sesuatu yang amat buruk akan berlaku. Namun mereka berada dalam genggamannya sekarang dan hanya dapat menjawab, "[Kami mengharapkan] kebaikan. [Kau adalah] seorang saudara yang mulia, anak kepada saudara yang mulia. ". Muhammad (s.a.w.) menjawab, "Pergilah, kamu semua bebas. ". Beliau turun, membersihkan dirinya dan bersembahyang sebanyak lapan rakaat.
Kemudian Muhammad (s.a.w.) mengarahkan Bilal melaungkan azan dari tengah masjid. Mulai hari itu penduduk tanah Arab beramai-ramai memeluk agama Islam. Akhirnya Islam berjaya menghapuskan penyembahan berhala dari Mekah, pusat tanah Arab.


Sehingga ke hari ini Mekah adalah ibu kota Islam. Di situlah terletak Kaabah, tempat lahirnya ajaran Islam dan tempat kelahiran Muhammad (s.a.w.). Setelah Muhammad (s.a.w.) berjaya menawan Mekah, umat Islam Madinah bimbang beliau akan meninggalkan mereka dan kembali ke kampung halamannya. Namun kerana rasa kasiahan terhadap golongan Ansar terhadap bantuan dan pengorbanan mereka untuk Islam, Muhammad (s.a.w.) memutuskan untuk kembali dan tinggal di Madinah.
Dalam tempoh dua tahun berikutnya (tahun kelapan dan kesembilan selepas hijrah), lebih banyak perjanjian damai dimeterai, banyak pertempuran berlaku, banyak negara yang menghantar utusan mereka kepada Muhammad (s.a.w.) dan banyak lagi surat-surat yang diutuskan kepada negara-negara jiran. Rukun Islam akhirnya lengkap apabila ibadat haji dikenakan.

1 Comment:

  1. fijar said...
    Thanx a lot. Very appreciated.

Post a Comment



Newer Post Older Post Home