Kewafatan Muhammad (s.a.w.)

Selepas haji pada tahun kesepuluh, ayat berikut diturunkan:
"... pada hari ini telah Kusempurnakan untuk kamu agamamu, dan telah Kucukupkan kepadamu NikmatKu, dan telah Kuredhai Islam itu sebagai agamamu... "
Al-Qur'an, Al-Maiidah (5):3


Allah juga berfirman:
"Kamu adalah umat yang terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada yang makruf dan mencegah daripada mungkar, dan beriman kepada Allah... "
Al-Qur'an, Al-'Imran (3):110


Allah juga telah menjamin yang Dia akan memelihara agama ini (dengan memelihara kitab ini). Firman-Nya:
"Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan Al-Qur'an, dan sesungguhnya Kami benar-benar memeliharanya. "
Al-Qur'an, Al-Hijr (15):9


Lebih kurang pada masa ini, surah berikut diturunkan:
"Apabila telah datang pertolongan Allah dan kemenangan, dan kamu lihat manusia masuk agama Allah berbondong-bondong, maka bertasbihlah dengan memuji Tuhanmu dan mohonlah ampun kepadaNya. Sesungguhnya Dia adalah Maha Penerima taubat. "
Al-Qur'an, Al-Nashr (100):1-3


Apabila sahabat-sahabat Muhammad (s.a.w.) mendengar surah ini dibacakan, mereka faham bahawa nabi Muhammad (s.a.w.) tidak lama bersama mereka, dan hati mereka sedih memikirkan yang mereka akan kehilangannya. Itu adalah tahun terakhir hidup Muhammad (s.a.w.) dan beliau menggandakan ibadatnya, memuji Tuhannya dan membanyakkan membaca Qur'an sebagai persediaan untuk penjalannya yang terakhir. Kesakitan yang meragut nyawa utusan Allah ini bermula pada bulan kedua pada tahun kesebelas selepas hijrah.


Muhammad (s.a.w.) mengajar pengikut-pengikutnya bahawa Tuhan Maha Adil. Dia membalas kebaikan dengan kebaikan dan membalas perbuatan jahat dengan setimpal. Namun Dia juga Maha Mengasihani. Dia menggandakan semua amalan baik daripada sepuluh sehingga ratusan kali ganda dan Dia menghitung satu perbuatan jahat sebagai satu perbuatan jahat, atau Dia mengampunkannya.
Di antara perkara yang diajar oleh Muhammad (s.a.w.) ialah bahawa Tuhan mengasihani kita dengan cara menimpakan ujian dari masa ke semasa. Yang jahat di kalangan manusia putus harapan apabila berhadapan dengan ujian ini dan menenggelamkan diri mereka dengan lebih banyak perbuatan jahat.

Yang beriman pula merasa diberkati dengan ujian ini. Ini adalah kerana mereka menerima ujian ini dan mengharapkan ganjarannya. Ganjarannya dianugerahkan kepada mereka sama ada pada kehidupan ini atau pada hari akhirat. Ujian juga ditimpakan untuk menghapuskan dosa atau menggandakan pahala mereka supaya pada hari pengadilan apabila meraka dipersembahkan dengan pahala kerana kesabaran mereka, dan mereka akan berharap agar mereka ditimpakan dengan ribuan lagi ujian sedemikian.


Begitulah, apabila Muhammad (s.a.w.) ditimpa kesakitan, beliau menanggung kesakitan dan menjadi lemah. Beliau mengikat sekeping kain pada kepalanya untuk mengurangkan sakit kepala yang dihidapinya dan apabila beliau mahu bergerak beliau akan bersandar pada dua orang yang akan memapahnya ke tempat yang mahu dituju. Ini berlarutan selama lebih sebulan sebelum beliau wafat

pada bulan ketiga pada tahun kesebelas selepas hijrah.
Semasa Muhammad (s.a.w.) hampir wafat, beliau bertanya isterinya Aishah, "Wahai Aishah, apa cerita emas kita? " (bermaksud berapa banyakkah wang kita?). Aishah membawa kepadanya di antara lima ke sembilan keping emas yang mereka miliki. Sambil beliau membalik-balikkan wang tersebut di dalam tangannya, beliau berkata, "Apa yang akan Muhammad katakan bila bertemu Tuhannya sedang dia memiliki wang ini? Sedekahkanlah ia wahai Aishah. ".


Setelah mengimamkan umat Islam sembahyang buat kali terakhir, Muhammad duduk di mimbar masjid tersebut dan menyampaikan khutbah perpisahan. Di antara kata-katanya adalah:
"Allah memberi pilihan kepada salah seorang hamba[Nya] sama ada dunia ini atau apa yang ada padaNya di akhirat. Dia memilih yang kedua."


Abu Bakar memahami maksud kata-katanya, dan mulai menangis lalu berkata, "Sebaliknya, kami akan mengorbankan diri kami dan anak-anak kami untukmu wahai utusan Allah. " Nabi (s.a.w.) berkata, "Wahai Abu Bakar! Jangan menangis. Tiada manusia yang lebih aku kasihi selain Abu Bakar. Dan jika aku perlu memilih tempat mengadu, maka aku memilih Abu Bakar. Tetapi memilih Islam adalah lebih baik. ". Kemudian beliau mengarahkan semua pintu ke masjid ditutup kecuali pintu Abu Bakar. Apabila Muhammad (s.a.w.) tidak dapat lagi mengimamkan sembahyang, beliau mengarahkan Abu Bakar mengambil alih tanggungjawab ini.


Aishah, isteri Muhammad (s.a.w.), meriwayatkan, "Utusan Allah, moga-moga Tuhan memberkati dan menganugerahkan kesejahteraan ke atasnya [pernah] berkata, "Tiada nabi yang wafat sehinggalah beliau diberi pilihan (sama ada menjadi raja di bumi atau menerima ganjaran di akhirat)."". Beliau menyambung, "[Semasa sedang nazak] aku mendengarnya berkata, "[Sebaliknya], bersama yang tertinggi. Bersama yang tertinggi.", dan aku tahu yang dia sedang pergi. " (Diriwayatkan oleh Muwatta oleh Malik).


Pada hari Muhammad (s.a.w.) wafat, beliau menarik tirai di antara biliknya dan masjid dan memerhatikan umat Islam bersembahyang berjemaah diimamkan oleh Abu Bakar. Beliau gembira melihat mereka bersembahyang, dan kerana telah hidup untuk melihat pengikut-pengikutnya mematuhi agama mereka dan bersembahyang. Beliau tersenyum sambil memerhatikan mereka. Umat Islam ternampak beliau mengintai dan merasa gembira. Beliau kelihatan lebih sihat dan mereka berharap agar beliau telah sembuh. Muhammad (s.a.w.) mengisyaratkan supaya mereka terus bersembahyang dan menutup tirai tersebut. Beliau wafat tidak lama selepas itu.


Ayat Qur'an yang terakhir yang diturunkan kepada Muhammad (s.a.w.) adalah:
"Dan peliharalah dirimu daripada hari yang pada waktu itu kamu semua dikembalikan kepada Allah. Kemudian masing-masing diri diberi balasan yang sempurna terhadap apa yang telah dikerjakannya, sedang mereka sedikit pun tidak dianiayai. "
Al-Qur'an, Al-Baqarah (2):281


Pesanan terakhir Muhammad (s.a.w.) sebelum kewafatannya adalah menegah pengikut-pengikutnya bersembahyang di makamya. Beliau menasihatkan umat Islam supaya menunaikan sembahyang, bersedekah dan melayan hamba abdi mereka dengan baik. Muhammad berusia enam puluh tiga tahun ketika beliau wafat dan telah menghabiskan genap dua puluh tiga tahun menyeru kepada Islam, dan menghapuskan semua tuhan-tuhan yang palsu selain Dia.


Tidak lama selepas kewafatannya, Abu Bakar dilantik sebagai Khalifah Islam yang pertama. Beliau memerintah sehingga ke akhir hayatnya, dan pemerintahannya diganti oleh Umar bin Al-Khattab, kemudian Uthman bin Affan, kemudian Ali bin Abi Talib. Keempat-empat khalifah ini kemudiannya digelar "Khalifah yang Dibimbing". Umar membuka Jerusalam pada tahun 638 semasa pemerintahannya. Beliau memasuki Jerusalam dengan menunggang keldai.
Setelah umat Islam menawan Jerusalam, kaum Yahudi dan orang-orang Kristian tidak dipaksa menukar agama sebaliknya dibenarkan terus mengamalkan agama mereka dan menunaikan haji dengan bebas. Sebagai contoh sikap tolak ansur terhadap agama lain yang diperintahkan ke atas umat Islam adalah apabila Khalifah Umar menerima kunci Jerusalam daripada Sophronius pada abad ketujuh, beliau dijemput untuk bersembahyang di dalam sebuah gereja di Jerusalam. Beliau menolak dengan alasan beliau tidak mahu memberikan gambaran bahawa umat Islam mempergunakan tempat suci Kristian. Semasa pemerintahan Khalifah Umar, dinasti Sassan yang gagah juga jatuh ke tangan umat Islam.


Abu Hurairah berkata:
"Aku dengar utusan Allah(s.a.w.) berkata, "Perumpamaan antara aku dan pengikut-pengikutku adalah seperti seorang lelaki yang menyalakan api dan setelah api dinyalakan, apa yang ada di sekelilingnya, kupu-kupu dan serangga-serangga lain mulai jatuh ke dalam api itu. Orang ini cuba [sedaya-upaya] untuk menghalangnya tetapi mereka masih meluru ke arah api tersebut.". Nabi (s.a.w.) menambah, "Begitulah, aku menarik tali pinggangmu untuk menahanmu daripada jatuh ke dalam api neraka, tetapi kamu masih mahu terjun ke dalamnya."
Diriwayatkan oleh Bukhari

0 Comments:

Post a Comment



Newer Post Older Post Home